Posted by: manarian | October 3, 2007

Kelompok-kelompok Ahli Ibadah

Saidina Abu Bakar ra berkata: Orang-orang yang beribadah itu ada tiga kelompok, setiap kelompok mempunyai 3 tanda-tanda pengenalnya:

1. orang-orang yang beribadah dengan TAKUT, tanda-tandanya: merendahkan diri, menganggap sedikit kebaikan dan merasa banyak keburukannya.

2. orang-orang yang beribadah dengan HARAP, tanda-tandanya: menjadi teladan orang dalam segala hal, menjadi org yang paling dermawan dalam hartanya, dan paling berbaik sangka kepada semua makhluk Allah.

3. orang-orang yang beribadah dengan CINTA, tanda-tandanya: memberi apa saja yg ia cintai demi mendapat ridla Allah, tidak memperdulikan keridlaan nafsunya setelah mendapat ridla Allah, dan dalam segala hal dan kondisi ia senantiasa bersama Tuannya (ALLAH) dalam urusan perintah dan laranaganNYA.

Posted by: manarian | September 19, 2007

Tipu Daya dalam Diri Manusia

 Yahya bin Muadz ra berkata: Merupakan ghurur (suatu penipuan terhadap diri sendiri) terbesar menururtku adalah: Terus-menerus dalam berbuat dosa serta mengharap ampunan tanpa menyesalinya (dosa tersebut), berharap dekat kepada Allah tanpa berbuat ketaatan, menunggu tanaman syurga dengan benih neraka, mencari negeri orang-orang yang taat dengan maksiat, menunggu balasan tanpa amal, berangan-angan kepada Allah disertai berlebih-lebihan.

Ghurur bererti penipuan. Seseorang itu dikatakan maghrur (tertipu) apabila dia menyangka tentang sesuatu yang mana, hakikatnya merupakan suatu yang sebaliknya. Contohnya, seseorang dikatakan tertipu jika dia menyangka bahawasanya dirinya baik, tetapi pada hakikatnya, di sisi Allah s.w.t., dia merupakan sejahat-jahat manusia, tetapi dia tidak menyedarinya.

Seseorang dikatakan melakukan dosa secara berterusan namun masih menyangka bahawasanya Allah s.w.t. akan memaafkannya, padahal tidak pernah mahu untuk bertaubat dan menyesali dosa tersebut, merupakan seseorang yang tertipu dengan dirinya sendiri, kerana seseorang yang berbaik sangka kepada Allah s.w.t., maka, pasti dia akan melakukan amal ketaatan kepadaNya.

Adapun jika seseorang melakukan dosa, tanpa bertaubat, dan berterusan dalam melakukan maksiat, atas alasan bahawasanya Allah s.w.t. Maha Pengampun, maka dia telah menipu dirinya sendiri kerana pengampunan Allah s.w.t. itu hanya bagi mereka yang beradab kepadaNya dan merendahkan diri di hadapanNya, padahal, orang yang berprasangka sedemikian seorang yang biadab di hadapan Allah s.w.t. dan seoalah-olah mempermainkanNya, padahal dia tidak mempermainkan sesiapa melainkan hanya mempermainkan dirinya sendiri.

Orang yang tertipu ialah orang yang mengharapkan sesuatu, tetapi tidak berusaha untuk mendapatkannya, ataupun melakukan hal yang sebaliknya. Seseorang yang ingin makan hasil buah-buahan, tetapi tidak mahu berusaha untuk mendapatkannya, seperti menanam pepohon buah-buahan tersebut dan sebagainya, maka ia merupakan suatu pendustaan terbesar terhadap diri sendiri.

Ataupun, dia ingin memakan buah-buahan, tetapi menanam pohon-pohon yang tidak berbuah sama sekali, ataupun menanamnya, tetapi tidak mahu menyemai,membaja dan menjaganya, maka hal ini juga membuktikan bahawasanya, dia tidak jujur dalam menginginkan apa yang diinginkannya.

Begitu juga, apabila seseorang mendakwa bahawasanya, dia menginginkan Allah s.w.t., tetapi tidak melakukan ketaatan kepadaNya, dia mendakwa inginkan syurga, tetapi melakukan amalan-amalan maksiat yang merupakan amalan ahli neraka, dan sebagainya, bererti, dia tidak jujur dalam mengejar apa yang diingininya menurut dakwaannya sendiri.

Itulah sebesar-besar tipu-daya kerana dia seolah-olah menipu dirinya sendiri. Tiada yang lebih bodoh daripada seseorang yang menipu dirinya sendiri, kerana ianya bukan sahaja merosakkan dan merugikan diri sendiri, tapi membawa kepada penyesalan di akhirat nanti…Penyesalan yang tiada lagi berguna…

Dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Manari

Kuala Lumpur, 19/9/2007 

Posted by: manarian | August 23, 2007

Tatabahasa Hati- Imam Al-Ghazali r.a.

 

Telah berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a.:

Sesungguhnya, penyingkapan tatabahasa hati itu ada empat jenis: rafa’(terangkat), fathu (terbuka), khofdhu(jatuh) dan waqaf(terhenti).

Rafa’(terangkatnya) hati: dalam zikir kepada Allah s.w.t..

Fathu(terbukanya) hati: pada redha terhadap Allah s.w.t..

Khofhu (jatuhnya) hati: dalam kesibukan dengan selain daripada Allah s.w.t..

Waqaf (terhentinya) hati: pada kelalaian daripada mengingati Allah s.w.t..

Tanda rafa’ (terangkatnya hati) ada tiga:

Pertama: Adanya keserasian (antara perbuatannya dengan syariat).

Kedua: Lenyapnya percanggahan (iaitu, tidak membuat maksiat).

Ketiga: Sentiasa dalam kerinduan (kepada Alalh s.w.t.). 

Tanda fatah(terbukanya hati) ada tiga:

Pertama: Tawakkal

Kedua: Jujur

Ketiga:Yakin

Tanda khofdhu (jatuhnya hati) ada tiga:

Pertama: Ujub

Kedua: Riyak

Ketiga: Tamak, iaitu, terlalu mengejar keduniaan

Tanda waqaf (terhentinya hati) ada tiga:

Pertama: Hilang kelazatan dalam ketaatan

Kedua: Hilang kepahitan maksiat

Ketiga: Mencampurkan antara halal dan haram 

Posted by: manarian | August 23, 2007

Jadikan Harimu KeranaNya

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah r.h.l. berkata: 

Jika seseorang hamba menjalani hidupnya di waktu pagi dan petangnya, sedangkan tiada yang menjadi fokusnya melainkan Allah s.w.t. semata-mata, maka Allah s.w.t. akan menanggung untuknya akan hajat-hajatnya seluruhnya (Allah s.w.t. akan menunaikannya), Allah s.w.t. akan memalingkan kesusahan daripadanya, dan akan mengosongkan hatinya hanya semata-mata untuk disikannya dengan makrifatNya (mengenaliNya), dan menjadikan lidahnya sentiasa memperingatiNya, dan Dia akan menjadikan anggota badannya seluruhnya dalam ketaatan kepadaNya. 

Jika seseorang hamba menjalani kehidupannya samada di waktu pagi mahupun petang, sedangkan tiada yang lebih dipentingkannya selain daripada dunia, maka Allah s.w.t. akan memebebankannya dengan bebanan-bebanan dunia dan isinya, sehingga dia akan berduka dan berasa tidak tenang kerana dunia tersebut. Allah s.w.t. akan menyerahkan dirinya kepada dirinya sendiri, tanpa membantunya. Lalu, hatinya sibuk daripada cintaNya, dengan kecintaan kepada dunia yang meletihkan, lidahnya sibuk daripada mengingati Allah s.w.t. dengan mengingati makhluk, dan anggotanya sibuk daripada ketaatan dengan mengejar keduniaan.

Posted by: manarian | August 7, 2007

Mencari Damai di Deareh Persinggahan Nan Permai

Kehidupan ini suatu anugerah. Anugerah yang paling bernilai setelah anugerah iman dan islam. Ia merupakan suatu anugerah hakiki dan abadi jika seseorang menjalaninya dengan hakikat kehambaan dirinya yang murni. Namun, disebabkan ramai dari kalangan manusia yang terhijab daripada hakikat sesuatu, mula mencari-cari rahsia kehidupan ini. Dek terperangkap di bawah tempurung musibah dan corak kehidupan, mereka mula mempersoalkan : “benarkah hidup ini suatu anugerah?”. 

Di sekitar kefahaman manusia terhadap kehidupan di dunia ini, ada tiga jenis golongan manusia yang utama. Pertama, suatu golongan manusia yang merasakan, sememangnya kehidupan ini suatu anugerah dan kenikmatan yang mutlak, tanpa sebarang tugas dan tanggungjawab.  Mereka merasakan bahawasanya, hidup ini sekadar untuk mengecap segala sesuatu yang membawa kepada kepuasan nafsu diri yang tamakkan duniawi.

Mereka tidak percaya atau seolah-olah tidak percaya bahawasanya, ada suatu kehidupan lain, dan mengingkari samada secara langsung ataupun tidak, terhadap kebangkitan dan pembalasan setelah kematian. Mereka hidup tanpa tanggungjawab, bebas laksana haiwan yang melata di muka bumi ini, bahkan turut digambarkan di dalam Al-Qur’an, sebagai golongan manusia yang lebih sesat daripada haiwan, kerana tidak menggunakan akal yang dianugerahkan kepada mereka. 

Golongan ini, zahirnya kelihatan bahagia, tetapi batinnya penuh kekosongan dan kebingungan. Hati kecilnya sentiasa menyalahkan corak kehidupan umpama kebinatangan ini, kerana merasakan bahawasanya, nilai kehidupannya seharusnya lebih tinggi daripada sekadar makan, tidur, berkahwin, minum dan sebagainya, bagaikan haiwan yang sekadar mengejar kepuasan syahwat diri. 

Terkadang, mereka terasa kekosongan, walaupun hidup di tengah-tengah mahligai yang tersergam, yang dihiasi dengan ribuan jariah dan teman. Kadang-kala, mereka terasa kehilangan nilai kehidupan, walaupun harta yang berjuta-juta tersimpan di dalam peti-peti simpanan. Golongan kedua pula ialah, suatu golongan manusia yang merasakan bahawasanya, kehidupan ini suatu neraka yang menyiksakan. Mereka seolah-olah berputus asa daripada kebahagiaan hidup di dunia ini sendiri, sehingga merasakan bahawasanya, kematian itu lebih baik daripada kehidupan. Mereka berputus asa daripada kehidupan kerana latar belakang kehidupan mereka, dihiasi dengan calar-calar hitam musibah yang menimpa wajah kehidupan mereka. Mereka terasa, bebanan kehidupan ini terlalu sukar sehingga ada yang sampai menafikan kewujudan tuhan dek terlalu melihat zahir kehidupan tanpa memahami rahsia dan hakikat sebenarnya dirinya diciptakan. 

Golongan ini  sentiasa berbolak-balik, antara ingin meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini, atau untuk menamatkannya. Jika dia ingin menamatkannya, dia sendiri tidak pasti, apakah yang ada setelah tamat kehidupannya itu, samada dia akan terus berehat selamanya, ataupun masih ada lagi kehidupan setelah kematian yang lebig mendukacitakan.  

Hakikatnya, kedua-dua golongan tadi tidak pernah mengecapi kebahagiaan yang hakiki di dunia ini lagi, bahkan kehidupan setelah kematian mereka, yang lebih malang lagi, sedia menanti. Dua golongan ini hidup tanpa suluhan wahyu Ilahi dan fathu (pembukaan) Rabbani. Mereka terperangkap dalam kepompong zahir dunia yang dihiasi dengan “sebab-akibat” dan kebendaan yang membutakan mata hati. Akhirnya, hidup ini bagi mereka, hanyalah sekadar fatamorgana. Apa yang mereka sangka tentang dunia, tidak ubah seperti musafir dalam dahaga, melihat fatamorgana di tengah-tengah terik sahara. 

                                           

Mereka berlari menuju persepsi mereka terhadap dunia dan keduniaan, akhirnya yang mereka temui hanyalah kekecewaan. Yang menganggap dunia ini suatu tempat kenikmatan mutlak, setelah mati mendapati, hidup ini tempat mengumpul bekalan cuma. Mereka yang menganggap dunia ini tempat musibah mutlak, setelah mati mendapati bahawa, hidup tadi sebenarnya sekadar tempat ujian. Akhirnya, mereka berkata, di hadapan Allah s.w.t. di hari Kiamat kelak: “Kami tidak hidup di dunia melainkan sekadar satu hari atau separuh hari sahaja”. 

Golongan ketiga, merupakan golongan yang menjalani kehidupan mereka dengan sebenar-benar makna kehidupan. Mereka adalah, golongan yang memahami bahawasanya, hidup itu suatu anugerah dan tempat ujian, yang mana ujian itu juga merupakan anugerah (dari kaca mata hakikat), dan hidup ini merupakan tempat persinggahan bagi mengumpul bekalan untuk hari kemudian, yang kekal abadi. Mereka adalah golongan yang menterjemahkan makna firman Allah s.w.t.: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” dalam segenap kehidupan mereka. Akhirnya, setiap corak dan bentuk kehidupan mereka, dipandu dengan kehambaan mutlak hanya kepadaNya.

Akhirnya, tiada kekecewaan lagi dalam kehidupan ini, kerana dia bukan hidup bersendirian, dengan keupayaan dirinya sendiri, tetapi hidup dengan Allah s.w.t., dalam kebersamaan denganNya, dan dengan menyandarkan kelemahan diri kepada kekuasaan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa. Mereka menjadikan kebersamaan dengan Allah s.w.t. sebagai resepi kebahagiaan mereka di dunia, bahkan menjadi jambatan kepada kebahagiaan mereka di akhirat kelak.

Bermula dengan mengamalkan seluruh perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala laranganNya dalam usaha merealisasikan kehambaannya kepadaNya dengan neraca syarak, akhirnya mereka dilimpahi suluhan hakikat daripada Allah s.w.t. sehingga terbit di hati mereka, hikmah-hikmah dan kefahaman yang tinggi, tentang hakikat diri sendiri, hakikat kehidupan dan hakikat Allah s.w.t. sesuai dengan kadar yang diizinkanNya. 

Allah s.w.t.-lah sumber kebahagiaan mereka, sumber keriangan mereka, sumber ketenangan mereka, sumber kecintaan mereka, bahkan sumber keabadian mereka dalam kebahagiaan, walaupun di tengah-tengah huru-haranya dunia dan keduniaan. Tabir zahir kekalutan duniawi tersingkap, dek limpahan naungan dan hakikat daripadaNya mencurah-curah ke dalam hati mereka. 

Mereka mula melihat apa yang di luar tempurung kehidupan, samada pahitnya mahupun manisnya. Penawar mereka takkala dirundung masalah di dunia ialah, tawakkal dan tafwidh (menyerahkan urusan dan ketentuan) kepada Allah s.w.t.. Pengubat kepedihan mereka dalam menghadapi ujian dan bala hanyalah dengan redha terhadap ketentuanNya, dan keyakinan bahawasanya, Allah s.w.t. tidak pernah mensia-siakannya, dan setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya daripadaNya. Baik sangka terhadap Allah s.w.t. merupakan penyeri kehidupan mereka sehingga, setiap ketentuan, baik dan buruknya, diserahkan kembali kepadaNya, samada dalam bentuk kesabaran (takala dirundung seribu satu kesusahan) dan kesyukuran (takkala disirami seribu satu kesenangan). 

Kehidupan mereka bagaikan anugerah dalam anugerah, kerana ikatan antara mereka dengan Allah s.w.t. sekukuh-kukuhnya di bawah naunganNya. Ikatan itu juga dikenali dengan zikir. Ia bukan sekadar zikir yang difahami oleh orang awam, iaitu sekadar zikir lisan, bahkan ia merupakan zikir hati dalam kebersamaanNya yang sentiasa tidak pernah mensia-siakan para hambaNya dan zikir sir dalam musyahadah keagungan dan kecintaanNya kepada para hambaNya. 

Inilah zikir yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an yang berbunyi: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. ( 28 ) Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya. (29)” (Surah Ar-Ra’d: 28-29). 

Maksud ayat “…beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan…” bererti, suatu kebahagiaan sejak di dunia lagi. Ini kerana, setelah itu, disambung dengan ayat yang berbunyi: “…dan tempat kembali yang sebaik-baiknya”. Bererti, kebahagiaan itu di dunia dan setelah itu, di akhirat juga akan mendapat tempat yang sebaik-baiknya. 

Zikrullah dalam maksud ayat di atas bererti: “Mengingati Allah s.w.t., samada dengan perturutan, perbuatan, mahupun dengan hati”. Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan pertuturan bererti, sentiasa berzikir dengan memuji-muji dan menyebut nama-namaNya, berbicara tentang hal-hal kebaikan sahaja, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran dan bercakap untuk tujuan ketaatan semata-mata. 

Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan perbuatan pula adalah dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya, hanya semata-mata keranaNya, bukan kerana selain daripadaNya. 

Adapun mengingati Allah s.w.t. dengan hati adalah dengan sentiasa menjaga niat dan keikhlasan dalam beramal, sentiasa merasakan diri diawasinya dan sentiasa merasa kehadiranNya di sisi, sebagai pembantu yang tidak pernah mensia-siakannya serta berakhlak dengan akhlak-akhlak hati yang mulia seperti tawadhuk, jujur, baik sangka dan sebagainya. Apabila seseorang berjaya melakukan hal-hal sedemikian, maka, dia telah menjadikan keseluruhan kehidupannya sebagai “zikruLlah” dan kehambaan kepadaNya. 

Hasilnya, kehidupannya, samada baik atau buruknya, dirasakan baik semata-mata, kerana jika ditimpa sesuatu kebaikan, maka dia melihat kebaikan tersebut daripadaNya sebagai tanda kecintaanNya kepadanya. Maka, dia akan mempersembahkan simbol kecintaannya kepadaNya pula dengan kesyukuran kepadaNya. 

Adapun jika dia ditimpa sesuatu keburukan, maka dia akan melihat musibah tersebut daripadaNya, sebagai suatu ujian untuk menilai cintanya kepadaNya, yang mana, ujian untuk menilai cintanya itu juga sebagai tanda cintaNya kepadanya, kerana sesiapa yang menguji seseorang untuk mengetahui nilai cintanya kepadanya (yang menguji tersebut), bererti, dia (yang menguji) telah terlebih dahulu mencintainya atau sudi untuk mencintainya. Kalau memang tidak sudi, maka tidak akan menguji. Jadi, si hamba akan membuktikan nilai cintanya kepadaNya dengan kesabaran dalam menghadapi musibah dan ujian tersebut. Akhirnya, baginya (hamba tersebut), semua yang berlaku dalam kehidupannya merupakan suatu kebaikan, kerana dia sudah menjangkau sempadan zahir corak keduniaan, dan melihat hakikat Dia yang mengujinya di sebalik corak keduniaan tersebut, sebagai simbol kecintaanNya kepadanya. 

Hal ini merupakan terjemahan realiti daripada maksud hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi: “Saya kagum dengan urusan orang mu’min (orang yang beriman kepada Allah s.w.t.). Urusan (kehidupannya) semuanya baik untuknya. Jika dia ditimpa suatu kebaikan, lalu bersyukur, maka ia baik untuknya. Jika dia ditimpa sesuatu kemudaratan, lalu bersabar, maka ia juga baik untuknya… 

Hakikatnya, baik atau buruk kehidupan seseorang itu, bukanlah pada kenikmatan duniawi ataupun musibahnya, tetapi pada bagaimana seseorang itu merealisasikan kehambaannya di hadapanNya dalam segenap keadaan dalam hidupnya. Seseorang yang cuba menghayati perbahasan ini dan berusaha (dengan sentiasa meminta bantuan daripadaNya juga) untuk menterjemahkan kehambaan dalam segenap kehidupannya, maka di sanalah letaknya kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Jangan tertipu dengan corak material dan kebendaan yang melingkari jasmani kita, tetapi ikatlah kerohanian kita denganNya dalam kebersamaan denganNya, sehingga boleh membawa kepada musyahadahNya (dengan izinNya) dan menjadikan seluruh kehidupan kita berada dalam mafhum (kefahaman) yang sahih iaitu: kehambaan dan zikruLlah. 

Hidup ini tidak sulit, kalau kita tahu siapa di sebalik kesulitan tersebut. Dia yang meletakkan kita ke dunia, dengan penuh kecintaan kepada kita, tidak pernah meletakkan kita di dunia semata-mata untuk kesulitan selamanya, tetapi di sebalik kesulitan itu, ada makna kecintaanNya iaitu untuk menguji kecintaan kita kepadaNya. Seseorang yang berjaya membuktikan bahawasanya, dia menghargai kecintaanNya kepadanya, maka dia akan mendapat kebahagian maknawi yang abadi sejak dari dunia, dan kebahagiaan jasmani di akhirat terutamanya, yang kekal buat selama-lamanya. 

Hidup ini tidak terlalu sempit, kalau kita tahu siapa di sebalik kesempitan tersebut. Kalaulah seseorang mengenal hakikat diri, hakikat kehidupan dan hakikat Tuhan di sebalik segenap corak kehidupannya, pasti tiada lagi kesempitan dalam kamus kehidupannya, kerana dia sudah bersemayam di singgahsana kelapangan yang abadi dalam kebersamaanNya. 

Al-Imam Ibn ‘Atho’illah as-Sakandari r.a. pernah berkata dalam munajatnya: “Wahai Tuhanku. Apalah lagi yang tidak dimiliki oleh sesiapa yang sudahpun memilikiMu (cintaMu dan kebersaman denganMu). Dan, apalah pula yang dimiliki oleh sesiapa yang tidak memilikiMu (tidak memiliki cintaNya dan berjauhan daripadaNya). 

Hidup ini, coraknya sememangnya tidak pasti. Tetapi, kebahagiaan itu pasti, menurut janji Tuhan yang azali. Corak kehidupan bukanlah penentu kebahagiaan hakiki, tetapi corak kehambaan kita dalam berinteraksi dengan corak kehidupan tersebut di hadapanNya itulah, penentu kebahagiaan abadi, maka fahamilah. Janganlah terhijab dengan yang tidak pasti, tetapi carilah yang pasti dari yang Maha Pasti Menunaikan Janji. 

Wallahu a’lam… 

Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 

Al-Faqir ila Afwi Rabbihi… 

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin 

7 Ogos 2007,  Kuala Lumpur  

Posted by: manarian | August 3, 2007

Kehadiran Hati dalam Kebersamaan dengan Ilahi s.w.t.

 

Kehadiran Hati dalam Kebersamaan dengan Ilahi s.w.t.

Sheikhuna (guru kami), Sheikh Yusuf Al-Hasani pernah berkata: “Garis pemisah yang membezakan antara zikir dan kelalaian ialah: kehadiran hati bersama Allah s.w.t. (hudur ma’a Allah).” 

Sesungguhnya, rasa zikir itu sendiri ialah, mengingati Allah s.w.t.. Ia bermula dengan zikir lisan (menyebut nama Allah s.w.t. dengan lidah), seterusnya zikir hati (kehadiran hati bersama Allah s.w.t.) dan seterusnya zikir sirr (bersama dalam musyahadah Allah s.w.t. dan kebersamaanNya setelah fana). 

Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari r.a. berkata: “Kamu zikir dengan lisan tanpa kehadiran hati bersama Allah s.w.t. itu lebih baik daripada kamu meninggalkan zikir sama sekali. Boleh jadi, dengan zikir lisan tanpa kehadiran hati tersebut, akan membawa kepada zikir dengan kehadiran hati setelah itu.” 

Seseorang yang sudah merasai kelazatan zikir (mengingati Allah s.w.t.) dalam muroqobah (kewaspadaan hati terhadap pandangan Allah s.w.t. kepadanya), akan sentiasa ingat kepadaNya walaupun tanpa lidah yang menyebut namaNya. Ini merupakan suatu zikir zauqi (dalam bentuk perasaan) di mana seseorang itu rasa diawasi oleh Allah s.w.t.. Inilah yang dipanggil dengan kehadiran hati bersama Allah s.w.t.. 

Ia merupakan natijah daripada perpindahan ism (nama Allah s.w.t.) ke dalam hati seterusnya diterjemahkan dalam bentuk kebersamaan denganNya secara “muroqobah” (kewaspadaan). Pada tahap ini, akal memainkan peranan yang penting dalam menjaga kebersamaan dalam muroqobah tersebut. Hati pula memainkan peranan dalam menyebut namaNya secara sirr (dari sudut hati) dan lidah pula, digunakan untuk menguatkan rasa kebersamaanNya tersebut, takkala menyebut namanya. 

Kehidupan ini antara kelalaian dan kehadiran hati bersamaNya. Setiap kelalaian akan menjauhkan kita daripada Allah s.w.t. dan setiap kehadiran hati akan menghampirkan kita kepadaNya. Ketenangan hati, kebahagiaan hidup dan kelapangan jiwa hanyalah ada pada seseorang yang sentiasa dalam kebersamaanNya, samada dengan muroqobah (kewaspadaan terhadap pandangan Allah s.w.t. terhadap dirinya) ataupun dengan musyahadah (menyaksikan Allah s.w.t. dalam kebersamaanNya) yang merupakan kemuncak kebersamaan denganNya. 

Allah s.w.t. berfirman: “…Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Ingat itu tempatnya ialah dalam pemikiran dan hati. Lisan sebagai pembantu agar membentuk ingatan kepadaNya di dalam akal dan seterusnya di dalam hati. Apa yang penting, sentiasalah menghampirkan diri denganNya dalam rangka mengingatiNya.

Lakukanlah ketaatan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan kepadaNya, kerana ikhlas merupakan jambatan utama dalam membentuk hubungan kebersamaan denganNya. Ramai orang beramal, tetapi tanpa ikhlasan, sehingga amal tersebut tidak mampu membuatkannya lebih menghampiri Allah s.w.t., bahkan menjauhkannya daripadaNya. Ini kerana, dia beramal kerana ianya sudah menjadi kebiasaan baginya. Maka, ibadat itu baginya sekadar adat. Apabila sedemikian, maka kelazatan dalam beribadah tidak dirasai, kerana ibadah yang dilakukan pada hakikatnya, bukan untuk Allah s.w.t., tetapi untuk dirinya sendiri, samada untuk melegakan hati takkala merasa diri tidak membuat kewajiban, tetapi bukan menumpukan amalan kepada Allah s.w.t., yang menjadi matlamat ibadah dan seluruh kehidupannya. Jadi, apabila ibadahnya terbantut kepada “adat” semata-mata, ia semakin mengkaburi hakikat kawujudan dirinya.

Walaupun dari sudut syariat, dia sudah menunaikan ketaatan, tetapi rahsia syariat, iaitu kelazatan dalam ketaatan, tidak dikecapinya kerana syariat itu dilakukan sebagai adat. Jadi, ikhlaslah dan jujurlah dalam beribadah kepadaNya, semoga dengan itu, akan menjadi jambatan menuju ke kebersamaanNya dengan bantuanNya. 

Seseorang yang ingin mengingati seseorang atau sesiapa sahaja, pasti dia akan selalu bertemu dan berbicara dengannya. Jadi, sesiapa yang ingin terus mengingati Allah s.w.t., maka hendaklah dia selalu bertemuNya dalam solat, dan selalu mendengar bicaraNya daripada firman-firmanNya yang kita baca.

Bacalah Al-Qur’an selalu, dengan niat untuk mendengar apa yang Allah s.w.t. ingin sampaikan atau bicarakan kepada kita setiap hari. Dengan niat tersebut, bukalah lembaran Al-Qur’an dan bacalah di mana sahaja lembaran yang dirasakan kuat keinginan untuk membacanya. Pada ketika itu, dengan niat sebegitu, insya Allah, lafaz-lafaz Al-Qur’an yang kita baca, menjadi permulaan bagi interaksi antara kita dengan Allah s.w.t.. Akhirnya, Allah s.w.t.-jika Dia kehendaki- akan mencampakkan perasaan atau zauq yang lebih mendalam, terhadap kefahaman ayat-ayat yang dibaca, seolah-olah ayat-ayat tersebut ditujukan khas untuk kita yang membaca. 

Dengan hal sedemikian, seseorang dapat menguatkan lagi ikatan hubungan kehambaanNya. Lakukan ketaatan dengan penuh rasa diperhatikanNya, keranaNya, nescaya, pada ketika itu, akan bertambah kuat rasa kerinduan untuk bertemu denganNya dalam kebersamaanNya. Jadikan amalan itu kehambaan kita kepadaNya, bukan sebagai pembina status diri dalam pandangan diri sendiri (contoh, solat banyak untuk rasa diri telahpun solat banyak. Bila baca Al-Qur’an, untuk rasa diri baik kerana baca Al-Qur’an dan sebagainya).

Lakukanlah segalanya kerana Allah s.w.t. dan untukNya, nescaya akan terbit kehadiran hati bersamaNya. Itulah hakikat zikir dalam kehidupan seseorang hamba, kepada Tuhannya. 

Wallahu a’lam…

Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 

Al-Haqir ila Rabbihi Al-‘Aliy Al-Qodir 

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin 

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2007

Posted by: manarian | August 2, 2007

Dialoq Antara Agama: Tauhid Aqidah Kebenaran

101.jpg 

Aqidah Tauhid: Dalam Neraca Agama-agama Samawi dan Hindu

Islam merupakan agama yang terakhir. Di dalamnya mengandungi panduan yang paling sempurna dan menyeluruh, dalam membimbing umat manusia. Ia hadir dalam rangka untuk memansuhkan agama-agama samawi terdahulu, dan membetulkan kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam ajaran yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t., seperti Yahudi dan Kristianiti, yang pada hakikatnya merupakan suatu himpunan ajaran-ajaran rekaan para agamawan mereka sendiri.

Jesteru itu, Allah s.w.t. menyeru ahlul-kitab, baik dari kalangan Yahudi mahupun Kristian, agar bersama-sama di bawah satu payung samawi yang baru, yang dibawa oleh nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w., dalam rangka untuk membetulkan pengabdian dan aqidah mereka terhadap Tuhan Maha Pencipta.  Hadirnya Islam, menyeru ke arah kesatuan aqidah yang murni dan suci, iaitu aqidah Tauhid, di mana, setiap manusia mengakui, Allah s.w.t.-lah satu-satunya Tuhan yang layak disembah, dan Dialah satu-satunya tuhan yang menciptakan dan mentadbir alam ini.

Walaupun agama Kristianiti dengan konsep Triniti-nya (Satu Tuhan dalam Tiga Oknum), dan Yahudi dengan sikap anti-Isa (memusuhi Nabi Isa a.s.) dan sebagainya, maka Islam hadir di tengah-tengah pertembungan dua golongan ini, dalam mengetengahkan satu pelan damai dan satu perpaduan di bawah naugan agama terakhir yang mengandungi kebenaran mutlak dan ajaran-ajaran yang sempurna. 

Islamlah satu-satunya agama yang benar lagi membenarkan segala kebenaran. Segala agama selain Islam merupakan kesesatan dan mengandungi pelbagai kesalahan dan penyelewengan, termasuklah dua agama samawi (iaitu Kristianiti dan Judaisme/Yahudi). 

Segala ajaran yang diajarkan dalam Islam merupakan suatu ajaran yang benar dan paling baik dan sempurna. Aqidahnya jelas dan menepati hakikat, bahkan turut mendamaikan hati, fitrah nurani dan mententeramkan jiwa. 

Pada hakikatnya, kesatuan antara Islam dengan ahlul-kitab (Yahudi dan Kristian) bukanlah suatu yang tidak releven, kerana Islam membawa ajaran Tauhid yang sesuai dengan ajaran agama-agama samawi terdahulu, sebelum diselewengkan oleh para agamawan mereka. 

Allah s.w.t. berfirman dalam menyeru kepada konsep aqidah yang sebenar:  Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali Imran: 64)

Jelaslah bahawasnya, Allah s.w.t. menyatakan bahawasanya, ajaran Tauhid sememangnya terkandung dalam intipati suci seluruh ajaran samawi sebelum Islam, termasuklah dalam ajaran Yahudi dan Kristian.

Kesatuan Tauhid

Dalam buku-buku yang menjadi rujukan agama Kristianiti dan Yahudi sendiri, menceritakan tentang konsep Tauhid, iaitu tiada Tuhan yang menciptkan sekalian alam dan layak disembah melainkan Allah s.w.t..

Hal ini seperti yang diriwayatkan dalam buku Torah (menurut Ahlul Kitab kini sebagai Taurat):  Shama Israelu Adonai Ila Hayno Adna Ikhad” (dalam bahasa Ibrani), atau: “Hear, O Israel: The Lord our God is one Lord” (dalam bahasa Inggeris) [The Bible, Deuteronomy 6:4]

Maksudnya: “Dengarlah Wahai Bani Israel, Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa” (Deutreronomy 6:4) 

Kitab Deuteronomy termasuk dalam lima buku terawal buku Bible, yang diterima oleh golongan Yahudi dan Kristian sebagai kitab Torah (Taurat).

Jadi, orang-orang Yahudi dan Kristian sepatutnya beriman bahawa Allah s.w.t. yang menciptakan seluruh alam ini Maha Esa, bukan dua, bukan Trinity dan sebagainya.  Dalam Kitab Isaiah ada disebutkan lagi: 

I, even I, am the Lord; and beside me there is no saviour.

[The Bible, Isaiah 43:11] maksudnya, “Aku, hanya Akulah Tuhan, dan di sampingku tiada penyelamat lain (selain daripadaKu)”.

Lagi diesbutkan dalam kitab yang sama:  I am Lord, and there is none else, there is no God besides me.” Yang bermaksud: “Akulah Tuhan, dan di sana, tiada tuhan yang lain, tiada tuhan di sampingKu” [The Bible, Isaiah 45:5] 

Thou shalt have no other gods before me. Thou shalt not make unto thee any graven image, or any likeness of anything that is in heaven above, or that is in the earth beneath, or that is in the water under the earth:Thou shalt not bow down thyself to them, nor serve them: for I the Lord thy God am a jealous God.

Yang bermaksud:  “Tidak ada tuhan-tuhan sebelumku. Janganlah kalian jadikan bagiKu akan sebarang gambaran, atau menyamakanKu dengan apa yang ada di langit, atau di dunia, atau di dalam laut di bawah bumi: Kamu tidak sepatutnya tundukkan diri kamu (menyembah) kepada makhluk-makhluk tersebut, dan tidak pula sepatutnya kamu menyembah mereka, kerana sesungguhnya, Aku satu-satunya Tuhan, Tuhan kamu, merupakan Tuhan yang cemburu”  [The Bible, Exodus 20:3-5  dan kitab Deuteronomy 5:7-9]

Nabi Isa a.s. secara khusus mengajarkan konsep Tauhid kepada para pengikutnya seperti yang diriwayatkan dalam buku Mark (Markus) yang berbunyi: 

“Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.”

Yang bermaksud: “Dengarlah wahai Bani Israel: Tuhan itu, Tuhan kita, ialah Tuhan yang Maha Esa”  [The Bible, Mark 12:29] 

Jadi, jelaslah di sini bahawasanya, pengikut agama-agama samawi perlu mengikuti Islam, kerana telah jelas bahasanya, agama Islam mengajarkan kepada mereka, ajaran Tauhid yang diajarkan oleh nabi-nabi mereka terdahulu, sebelum ajaran-ajaran mereka diselewengkan oleh para agamawan dan paderi mereka. Kebenaran jelas berpihak kepada agama Islam, yang merupakan agama terakhir dari Allah s.w.t., yang dibawa oleh nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w..

Ajaran Triniti yang diajarkan di dalam agama Kristianiti hari ini suatu ajaran yang menyeleweng, yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa a.s. sendiri. Oleh yang demikian, orang-orang Kristian seharusnya kembali kepada Islam, kembali kepada ajaran Tauhid Nabi Isa a.s. yang diajarkan semula dengan syariat baru yang kekal sehingga hari Kiamat, oleh Nabi Muhammad s.a.w..

Bahkan, orang-orang Islam juga sebenarnya tiada alasan untuk memeluk agama Kristian, setelah jelas, Islamlah yang mengajarkan kebenaran, bukan agama Kristian.!

Hinduisme dan Tauhid

Agama Hindu menurut ajaran para sami hindu mempunyai pelbagai fahaman dan kepercayaan yang berbeza-beza. Bahkan, kepercayaan-kepercayaan tersebut saling berlawanan antara satu sama lain. Secara asasnya, kebanyakan pengikut agama Hindu mempercayai tuhan itu ada tiga yang utama, iaitu Shiva, Brahma dan Wishu. Ketiga-tiga tuhan ini mempunyai pasangan isteri. Selain itu, tuhan melantik pelbagai tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara manusia dengan tuhan-tuhan utama tersebut. Fahaman tiga tuhan utama ini dikenali dengan Trimurti. 

Kehadiran Islam menyeru seluruh umat manusia, termasuklah pengikut agama Hindu, untuk memeluk Islam dan beriman dengan aqidah Tauhid. Hal ini kerana, tauhid merupakan aqidah yang benar, dan selain daripada aqidah tauhid merupakan kepercayaan yang sesat.  Hakikat yang tidak dapat dinafikan juga ialah, tauhid juga telahpun diajarkan di dalam kitab-kitab mereka yang terdahulu. Hal ini membuktikan bahawa, Islam merupakan agama kebenaran dan fahaman agama mereka (Hinduisme) ini merupakan fahaman yang sesat dan diseleweng. 

Telah diriwayatkan akan firman Tuhan dalam kitab-kitab mereka berkenaan tauhid adalah seperti berikut: 

Ekam evadvitiyam” Yang bermaksud: “Dia ialah satu-satunya Tuhan, tiada yang kedua” [Chandogya Upanishad 6:2:1]

Na casya kascij janita na cadhipah.” Yang bermaksud: “BagiNya (Tuhan), tiada seteru mahupun tiada tuhan lain (selain daripadaNya). [Svetasvatara Upanishad 6:9].

Jelaslah bahawasanya, Islam meurpakan satu-satunya agama yang benar, yang mengajarkan aqidah yang benar dan sempurna, kepada seluruh umat manusia, dalam rangka mengeluarkan mereka daripada kesesatan dan pengabdian yang sesat lagi terpesong.Bukan Kristianiti, bukan Hiduisme, bukan Judaisme dan bukan agama-agama lain, melainkan Islam yang mengajarkan kebenaran. Hanya Islam satu-satunya agama yang mengandungi ajaran aqidah yang paling tepat dengan naluri insani dan aqidah yang benar tentang Tuhan yang selayaknya disembah.

Tiada alasan untuk para pengikut agama lain seperti Kristian, Yahudi dan Hindu khususnya, dan para pengikut agama-agama yang lain amnya, untuk terus berpegang dengan agama-agama mereka, atas alasan kebenaran, kerana hanya dengan mengikuti Islam dan ajaran-ajarannya, manusia dapat berpegang dengan kebenaran. Hal ini juga dibuktikan oleh buku-buku dan manuskrip kebanyakan agama-agama lain sendiri. 

Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh:

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

2 Ogos 2007Kuala Lumpur

Posted by: manarian | August 2, 2007

Kefaqiran Diri Insan: Sejauh Mana Penghayatannya

 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua fuqoro’ (faqir dan memerlukan) kepada Allah dan sesunggguhnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu) lagi Maha Terpuji” (Fatir: 15) 

Seluruh makhluk pada hakikanya memerlukan Allah s.w.t. sebagai sumber kehidupan dan sumber kesinambungan kehidupan mereka. Allah s.w.t.-lah yang menjadikan manusia khususnya, dan seluruh makhluk amnya, dan Dialah yang memberikan sebab-sebab untuk mengekalkan kehidupan makhluk tersebut sehingga tiba tempoh masa yang tertentu, untuk kesudahan hidup mereka.

Adapun nikmat diciptakan oleh Allah s.w.t. dipanggil sebagai nikmat ijaad (penciptaan). Allah s.w.t.-lah yang menciptakan seluruh makhluk daripada tiada kepada ada, tanpa sebarang contoh sebelumnya, tanpa berhajat kepadanya, hanya semata-mata untuk menzahirkan keEsaan dan keagunganNya. 

Seterusnya, Allah s.w.t. menjaga kesinambungan kehidupan dan kewujudan makhluk tersebut dengan pelbagai asbab-asbab untuk menjamin kelangsungan kewujudan mereka. Allah s.w.t. menjadikan nikmat-nikmat seperti makanan, minuman, tempat tinggal, perlindungan, pakaian dan sebagainya, untuk meneruskan kelangsungan hidup manusia khususnya, dan memelihara manusia daripada kebinasaan. Nikmat Allah s.w.t. dalam menjaga kesinambungan kehidupan dan kewujudan makhluk ini dikenali dengan nikmat imdad (bantuan).

Jadi, manusia yang merupakan antara makhluk-makhluk Allah s.w.t., pasti memerlukan Allah s.w.t. sebagai sumber asal kewujudan mereka dan sumber kelansungan kewujudan mereka.

Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyah r.h.l. berkata: ” Sesungguhnya, kafaqiran itu ada dua:

Pertama: Kefaqiran Tanpa Pilihan: Iaitu, kefaqiran yang am, yang merangkumi orang-orang mulia dan fasiq. Ia tidak membawa kepada sebarang pujian atau celaan, tidak membawa kepada ganjaran mahupun siksaan, kerana ia merupakan suatu kefaqiran kepada Allah s.w.t. yang lazim bagi makhluk yang bersifat lemah.

Setiap makhluk pada hakikatnya lemah dan memerlukan Allah s.w.t. untuk terus hidup di dunia ini.

“Kedua: Kefaqiran Pilihan: Ia merupakan natijah bagi dua faktor iaitu: faktor MakrfatuLlah (mengenal Allah) dan makrifatun Nafs (mengenal diri).”

Setiap kali seseorang manusia mencapai makrifatun Nafs dan makrifatuLlah ini, akan terbit dihatinya rasa kefaqiran dan memerlukan kepada Allah s.w.t., dan hanya kepadaNyalah, kembalinya kefaqiran dirinya.

Sesiapa yang mengenal dirinya sebagai makhluk yang lemah, pasti mengenali Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa. Ketika itu, timbul nisbah antara dirinya dengan Tuhannya, dengan nisbah kefaqiran (Al-Iftiqor). Pada ketika itu, dia mula mengakui akan keperluan dirinya hanya kepada Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam kekuasaanNya.

Inilah hakikat kekayaan dalam diri seseorang, seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya, kaya ialah, kaya jiwa“. Seseorang yang sudah merasai dirinya memerlukan Allah s.w.t., dan bergantung kepada Allah s.w.t. semata-mata, maka, dia telahpun keluar dari kepompong asbab (sebab-musabbab) dan keluar dari hijab makhluk di sekelilingnya.

Sesungguhnya, manusia pada asalnya merupakan makhluk yang lemah, dan menyaksikan serta mengakui kelemahan dirinya serta betapa dirinya kepada Allah s.w.t..

Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi para hambaNya, menganugerahkan kepada manusia, pelbagai nikmat-nikmat imdadNya, untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Maka, Allah s.w.t. memberikan nikmat-nikmat seperti makanan, minuman, perhiasan, pakaian, tempat tinggal dan segala nikmat maknawi kepada mereka (seperti ikmat usaha, kekuatan, kepandaian, kecerdasan, kesihatan, syahwat dan sebagainya), dalam rangkan untuk menjadikan ianya sebagai asbab untuk mereka meneruskan kehidupan mereka. Itu semua merupakan anugerah dari Allah s.w.t..

Namun, setelah pelbagai nikmat yang dikurniakan kepada manusia, kilauan nikmat-nikmat tersebut mengaburi pandangan manusia, sehingga akhirnya merasakan, segala kenikmatan yang dimilikinya daripada hasil usaha dirinya. Bahkan, dia merasakan, dirinya sememangnya mempunyai kuasa mutlak, yang memang lahir dari dirinya semata-mata. Dialah yang bekerja lalu mendapatkan duit dan harta. Dialah yang berusaha sehingga berjaya mendapatkan kekayaan dan perhiasan dunia. Dialah yang merancang dan mentadbir kehidupannya sehingga mampu membentuk sebuah kehidupan yang bahagia. Segala nikmat tersebut dirasakan milik mutlaknya dan hasil dirinya, tanpa menyedari, bahawasnya, Allah s.w.t.-lah yang selama ini menyampaikan nikmat-nikmat tersebut kepadanya, demi menjamin kehidupannya.

Dia seperti makhluk yang lain, yang merasakan dirinya terasing dan berperanan, bebas dari sebarang ketergantungan kepada selain daripada dirinya, sehingga timbul rasa, dirinyalah yang berhak untuk terus hidup, dan dirinyalah yang berkuasa mutlak kepada kehidupannya. Pada ketika itu, manusia mula mengkufuri nikmat Allah s.w.t. dan melupakan Allah s.w.t., yang merupakan sumber di sebalik kenikmatan yang diperolehinya.

Si miskin (manusia) ini menyangka, dirinya mempunyai kuasa di samping kuasa Allah s.w.t. dalam alam ini, kerana sekurang-kurangnya merasakan, dirinya mempunyai peranan dalam menguruskan kehidupannya, bebas dari campur tangan sesiapa. Ini merupakan hakikat pendakwaan, bahawa dirinya sudah menjadi tuhan, di samping Allah s.w.t. yang mentadbir seluruh alam.

Dia lupa, bahawa dia wujud juga hasil dari ciptaan Allah s.w.t., dan dia juga lupa, betapa dia sebenarnya memerlukan Allah s.w.t. dan masih lagi lemah seperti suatu ketika dahulu. Hanya, kilauan kenikmatan memukau pandangan hatinya, daripada melihat semua yang dimilikinya daripada Tuhannya, sehingga akhirnya menisbahkannya kepada dirinya.

Inilah sifat Iblis dan Qorun, serta mereka yang mengikuti jejak langkah kedua-duanya, dari kalangan manusia. Merekalah golongan yang mengkufuri nikmat Allah s.w.t. takkala tidak mensyukuriNya dan tidak menjadikan kehidupannya sebagai wadah ketaatan dan kehambaan kepadaNya.

Allah s.w.t. merakamkan sifat lupa diri ini di dalam Al-Qur’an takkala menceritakan tentang Qorun sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

(Telah berkata Qorun):  Sesungguhnya, aku mendapat kekayaan ini, kerana ilmuku semata-mata” (Al-Qashash: 78)

Setelah mendakwa rububiyah (ketuhanan diri) dengan menisbahkan kekayaan daripada hasil usaha diri sendiri tanpa mengaitkannya dengan pemberian daripada Allah s.w.t., lalu Allah s.w.t. memperkenalkan hakikat rububiyah (ketuhanan) yang sebenar, yang hanya merupakan milikNya semata-mata, kepada Qorun yang lupa daratan, dengan menenggelamkan Qorun ke dalam muka bumi.

Pada peristiwa itu, Allah s.w.t. seoalah-olah mencabar Qorun, supaya menunjukkan hakikat sebenar ilmunya kepadaNya, takkala mendakwa dirinyalah yang meneruskan kelangsungan hidupnya dengan ilmunya.

Pada ketika Qorun ditenggelamkan ke dalam muka bumi, Allah s.w.t. seakan-akan mengherdik Qorun dengan berfirman dalam lisan hal (kedaan yang berlaku): “Wahai Qorun yang merasakan dirinyalah yang meneruskan kelangsungan hidupnya dengan keupayaan dirinya sendiri, tanpa merasakan ianya dari nikmat Tuhannya. Pada saat ini, silalah buktikan, keupayaan dirimu untuk menyelamatkan diri daripada ketentuanKu, dalam menenggelamkanmu, jika sememangnya kamu benar-benar berkuasa dengan kuasa yang tersendiri!”

Pada ketika itu, tiada lagi guna penyesalan, setelah Allah s.w.t. mencabar “ketuhanan” diri manusia yang leka, dengan ketuhananNya yang mutlak dan Esa, dan itulah akibat bagi mereka yang mendakwa ketuhanan diri di samping ketuhanan Allah s.w.t. yang mutlak, takkala menisbahkan segala nikmat kepada dirnya tanpa mengembalikan rasa syukur kepadaNya yang merupakan sumber nikmat imdad tersebut.

Mereka yang tidak merasakan dirinya memerlukan Allah s.w.t. semata-mata, dalam segala hal, dan merasakan cukuplah bergantung kepada diri sendiri, maka merekalah orang yang mencabar Allah s.w.t.. Tiada yang pernah mencabar Allah s.w.t. melainkan pasti akan dikalahkan oleh Allah s.w.t., dalam membuktikan KetuhananNyalah yang hakiki.

Apabila seseorang mengenali hakikat diri, yang merupakan makhluk ciptaan Allah s.w.t., pasti pada ketika itu merasai bahawasnya, dia datang daripadaNya, dan hanya kepadaNyalah dia akan kembali. Dari situlah, terdetik rasa diri hanya memerlukan Allah s.w.t., kerana Dia yang memberikan nikmat ijaad (penciptaan), Dialah juga yang sebenarnya memberikan nikmat imdad (meneruskan kelangsungan hidup), bak kata Imam An-Nablusi r.a.: “Sesungguhnya, yang menyirammu untuk terus subur ialah, Dia yang menanam dan menyemaimu suatu ketika dahulu.

Maka, dengan demikianlah, timbul rasa diri memerlukan Allah s.w.t., dan hanya kepadaNyalah, rasa ketergantungan dan pengharapan. Dari rasa memerlukan kepadaNya semata-mata inilah, akhirnya melahirkan rasa kehambaan kepadaNya seterusnya menyebabkan seseorang hamba bersifat rendah diri kepadaNya dan mensyukuriNya di atas segala nikmat yang dimilikinya.

Sheikh Ibn Qayyim berkata dalam buku Toriq Al-Hijratain (m/s 30) berkata: ” Makhluk yang paling sempurna ialah makhluk yang paling merasakan kehambaan dirinya, dan paling menyaksikan dan mengakui kefaqiran dirinya di hadapan Allah s.w.t.”

Lihatlah bagaimana, Saiyyidul Khalq (penghulu bagi sekalian makhluk) Saidina Rasulullah s.a.w. sentiasa menzahirkan rasa memerlukannya di hadapan Allah s.w.t. dalam setiap keadaannya, seperti yang digambarkan dalam doa Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Wahai Tuhanku. Baikkanlah segala urusanku. Janganlah serahkan ketergantungan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata, ataupun kepada sesuatu dari kalangan makhlukMu” (hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Abu Daud dan Imam Ibn Hibban).

Dalam doa ini, ada rahsia ketergantungan agung Nabi Muhammad s.a.w. kepada Allah s.w.t. dan penyaksian kepada keesaan Allah s.w.t. dalam menjadi sumber kebahagiaan dan tempat pergantungan mutlak dan hakiki.

Rasulullah s.a.w. juga pernah mengakui kehambaan diri Baginda s.a.w. yang mulia dengan bersabda kepada para sahabat r.a.: “…Sesungguhnya, aku adalah hamba. Maka, katakanlah (tentangku bahawasanya aku): hamba Allah dan Rasul Allah” (hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Ahmad).

 Maka, kadar kehambaan diri dan penyaksian akan kefaqiran diri kepadaNya, sesuai dengan kadar makrifatuLlah dan makrifatun Nafs seseorang kepada Allah s.w.t..

Oleh yang demikian, hendaklah seseorang muhasabah diri dengan merasakan diri sebagai insan yang Maha Lemah, sehingga akhirnya mengakui diri memerlukan tempat pergantungan. Pada ketika itu, diri yang lemah pasti akan menghalakan fokus kepada Tuhan yang pernah menciptakannya daripada tiada, kepada ad, sebagai tempat pergantungan abadi, kerana Dia yang menanam, Dialah yang akan membajai dan menyiramnya. Dari sinilah, timbulnya kefahaman bahawasanya, Dialah Allah, yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, yang merupakan satu-satunya tempat pergantungan.

Pada ketika itu, timbul sebuah jambatan yang menghubungkan antara dia dengan Tuhannya, iaitu jambatan kehambaan, takkala rasa diri memerlukanNya, hanya Dia semata-mata.

Jangan tertipu dengan kenikmatan, jangan tertipu dengan sebab dan musabbab, kerana ia diciptakan untuk kamu, sedangkan kamu diciptakan untuk Allah s.w.t.. Bergantunglah hanya kepada Allah s.w.t., penyebab hakiki, bukan kepada makhluk yang merupakan sebab-musababbab, yang merupakan alat-alat Allah s.w.t. dalam menyampaikan nikmatNya kepada kita, kerana sesiapa yang bergantung kepada asbab, asbab itu “patah tumbuh, hilang berganti”. Ia tidak kekal. Sesiapa yang bergantung kepada asbab, maka, takkala lenyap asbab, dia akan kebingungan, kebimbangan dan kekalutan.

Namun, sesiapa yang bergantung kepada Allah s.w.t., nescaya dia akan kekal bersama keabadian Allah s.w.t., dalam penyaksian kebersamaan abadi. Jika terputus asbab darinya sekalipun, dia tetap tenang, kerana ketergantungannya bukan kepada asbab, tetapi kepada Allah s.w.t.. Dengan demikian, dia melihat, ada atau tiadanya asbab dalam kehidupannya, hanya sekadar sebagai suatu interaksi Allah s.w.t. kepadanya semata-mata. Ada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jamal (kecantikan) Allah s.w.t. kepadanya dan tiada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jalal (keagungan) Allah s.w.t. kepadanya. Dia antara dua hal, juga, iaitu, menyambut penjelmaan Jamal Allah s.w.t. dengan kesyukran dan menyambut Jalal Allah s.w.t. dengan kesabaran, yang meurpakan buah daripada keredhaannya kepadaNya, yang pada hakikatnya (keredhaannya kepadaNya) merupakan buah keredhaanNya kepadanya.

Ditulis dengan bantuan Allah s.w.t. oleh: 

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Kabir Al-Qadir 

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

2 Ogos 2007

Posted by: manarian | August 1, 2007

Perantau dalam Kerinduan

Perantau Dalam Kerinduan

Satu kesepian…menemani perantauan,

Dalam mencari makna kehidupan.

Kehidupan itu sebuah perantauan,
Perantauan dalam mencari makna kehidupan,

Yang bermula tanpa dipinta,

Dan berkesudahan tanpa diduga.

Di antara dua keterpaksaan,

Sang Perantau diberi sesisip pilihan,
Antara kufur dan iman,

Buat menemani perjalanan.  

Sang Perantau di hantar ke dunia,

Sebagai tempat persinggahan,

Dalam rangka mengumpul bekal,

Untuk terus berjalan dan berjalan,

Sehingga bertemu Dia Maha Cinta,

Bersimpuh dalam sebuah kerinduan.

Namun,

Sang perantau terleka dengan persinggahan,

Sehingga terlupa akan perantauan,

Sehingga terlupa untuk mengumpul bekalan.

Yang Maha Merindui mengutus warkah rindu,

Dengan hidayah yang menusuk qalbu,

Memanggil semula ke hadrahNya,

Dan berjalan dengan mereka yang sedang berjalan.

Pasrah dilamar kerinduan,

Menghitung dosa yang menggerunkan,
Menangisi kelalaian yang menjauhkan,

Menginsafi kelemahan dan kehinaan,

Dan merintih sebuah harapan,

Untuk kembali ke pangkuan,

Dia yang Maha Merindui,

Dia yang Maha Belas kepada insan.

Seolah-oleh datang firman,

Dari Allah Ar-Rahman:

“Aku tidak pernah mensia-siakanmu sewaktu kejauhan,

“Bagaimana pernah Daku abaikanmu kala kepulangan”.  

Sang Perantau meluahkan kerinduan,

Kepada Dia yang tidak pernah meninggalkan,

Sehina-hina hamba yang dihiasi pengkhianatan,

Sejahil-jahil hamba terhadap nilai cinta Tuhan.

Dengan bekalan doa kepada Ar-Rahman,

Memohon agar terus diberi bantuan,

Untuk meneruskan perjalanan,

Sebagai bekalan dalam perantauan,
Menemani kesepian, dalam perjalanan,

Menjadi kekuatan, dalam kelemahan,

Serta usaha yang berpanjangan,

Dengan setulus niat penuh kejujuran,

Untuk sekurang-kurangnya menghargai cintaNya,

Atau sekadar tidak mengkhianatiNya.

Liku-liku sepanjang perantauan,

Onak duri dalam perjalanan,

Dihadapi dengan secebis kerinduan,

Dalam kebersamaan musyahadah pengertian,

Bahawa Dia, hanya Dia yang diperlukan,

Dan Dia, hanya Dia yang membahagiakan.

Biar tidak tersisa di hati Sang Perantau hina,

Akan sisa-sisa siwa* yang berkarat noda,
Agar bisa dpenuhi cintaNya,

Hanya cintaNya…

Biar kesepian yang menemani perantauan,

Asal kehadiran Tuhan tetap dalam kebersamaan,

Maka itulah hakikat keramaian,

Pada majlis kebersamaan Tuhan.

Kalaulah kerbersamaanNya itu suatu kesepian,

Dan kelalain bersama makhluk itu suatu kemeriahan,

Maka, alangkah membahagiakan,

Untuk memilih kesepian dari kemeriahan,
Kerana,

Padanyalah hakikat kemeriahan dan kemesraan.

Satu kesepian…menemani perantauan,

Dalam mencari makna kehidupan.  

Nukilan:

Sang Musafir nan Faqir

(Raja Ahmad Mukhlis)

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2007  

  

*Catatan: siwa: Semua selain dari Allah s.w.t.

Posted by: manarian | August 1, 2007

Makna Tauhid  

 

 

Bismillah…Alhamdulillah…Selawat dan Salam buat Rasulillah s.a.w.

 

 

 Telah berkata Al-Imam Al-Habib Al-Arif billlah, Sheikh Abdullah bin ‘Alawi Al-Haddad r.a.: 

 

Kami akan menerangkan tentang zahir dari makna “La Ilaha IllaLlah” (tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah), kerana kita telah menjelaskan bahawa, makna batin dari kalimah Tauhid tersebut perlu didiamkan dari perbincangan umum (kerana terlalu mendalam perbahasannya dan untuk memudahkan orang-orang awam). 

 

Ketahuilah bahawa, Tiada Tuhan melainkan Allah bererti, Dialah wajibul wujud lizatihi (kewajibannya adalah wajib dari sudut akal, dan kewujudan-Nya tidak bergantung kepada yang lain). Dia Maha Esa, Maha Memiliki dan Maha Berkuasa. Dia Maha Hidup lagi Maha Mentadbir setiap perkara. Dia bersifat dengan Qodim, di mana tiada permulaan bagi kewujudan-Nya dan Dia juga Abadi yang tiada berakhir bagi kewujudan-Nya. 

 

Dia mengetahui setiap sesuatu dan mampu melakukan setiap sesuatu. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, dan berhukum dengan apa yang Dia mahu. Dia tidak menyerupai sesuatupun, dan tidak mempunyai sebarang sekutu bagi-Nya. Dia tidak tertakluk di dalam taklukan masa dan tidak juga sibuk dengan sesuatupun. Dia juga tidak bertempat dan tidak pula berhajat kepada perkara-perkara baharu. Dia tidak memerlukan sesuatupun.  Dari sudut yang lain pula, setiap sesuatu selain-Nya, memerlukan-Nya.

 

Dialah yang menciptakan setiap yang wujud. Dialah yang menciptakan perbuatan setiap makhluk tersebut, baik dan buruknya. Maha Suci Allah s.w.t. yang merupakan sebaik-baik Pencipta. Dialah yang memberi hidayah kepada seseorang dan Dialah jua yang menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. 

 

Dialah yang memberi dan Dialah jua yang menegah. Dialah yang mengampunkan dan Dialah jua yang mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapapun yang layak mempersoalkan-Nya dan merekalah (makhluklah) yang akan dipersoalkan.  Dialah yang menciptakan dan Dialah yang memberi rezeki. 

 

 

Dialah yang menurunkan kitab-kitab sebagai wahyu dan Dialah yang mengutuskan para Rasul a.s., sebagai bukti kelembutan-Nya terhadap para hamba-Nya dan kemurahan-Nya terhadap mereka. Maka, wajib bagi para hamba-Nya untuk mentauhidkan-Nya (mengesakan-Nya) dan taat kepada-Nya dalam ibadah, dengan menyahut seruan para Rasul-Nya a.s., dan tidak ada sesuatupun yang wajib bagi-Nya untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya, kerana Dialah Raja dan Pemilik setiap sesuatu, dan menguruskannya. Setiap sesuatu selain-Nya tidak ada hak di sisi-Nya, untuk meminta hak mereka dari-Nya.

 

Dialah yang menjanjikan ganjaran buat para solihin, kerana kemurahan-Nya, dan Dia juga yang menjanjikan azab buat orang-orang yang ingkar kerana keadilan-Nya. Maka, perkataan TUHAN, meliputi seluruh sifat-sifat yang disebutkan, dan Dialah Allah yang tiada tuhan selain daripada-Nya, kerana setiap sifat tersebut jelas dimiliki oleh-Nya dan tidak dimiliki oleh selain daripada-Nya secara mutlak, samada bersifat dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut, apatah lagi untuk memiliki seluruh sifat-sifat tersebut. Barangsiapa yang menafikan sifat-sifat ketuhanan dari Allah s.w.t., dan mengisbatkannya kepada selain Allah s.w.t., atau menyekutukan Allah s.w.t. pada sifat-sifat ketuhanan tersebut, maka ia merupakan suatu kedustaan dan akan ditimpa ke atasnya kerugian yang abadi.

 

Merekalah orang-orang yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Qur’an yang bermaksud: “Kami telah memenuhkan neraka Jahannam dengan ramai dari kalangan jin dan manusia, kerana mereka memiliki hati tetapi tidak berfikir dan meneliti dengannya, mereka memiliki mata tetapi tidak mahu melihat (kebenaran) dengannya, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar (kebenaran) dengannya. Mereka bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dari binatang. Merekalah orang-orang yang lalai”. 

 

Wallahu a’lam

Older Posts »

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.